Masih Gagal Raih Sokongan Rakyat, Ini Poin Penting Kelemahan Pembangkang

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini menyatakan kebimbangannya tentang keengganan pembangkang untuk melakukan perubahan.

Kenyataan itu dilontarkan selepas pembangkang kalah dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Ujar Syed Saddiq, musuh terbesar bagi blok pembangkang ketika ini adalah diri sendiri yang dilihat terlalu selesa untuk berubah.

Jelasnya, UMNO pula dilihat lebih banyak berubah daripada pembangkang.

Antara langkah berani yang dilakukan oleh UMNO adalah mengetengahkan barisan muka baharu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Ternyata langkah itu berjaya selepas UMNO berjaya meraih kemenangan demi kemenangan.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/203153/BERITA/Politik/Syed-Saddiq-akui-UMNO-lebih-banyak-berubah-daripada-pembangkang

Apakah poin penting kepada kegagalan pembangkang dalam mengekang kemenangan UMNO?

Pertama sekali adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua sedia maklum, Anwar menjadi ketua pembangkang negara sejak 1999.

Malahan ada yang mendesaknya agar berundur kerana tidak lagi relevan memegang jawatan itu.

Kekalahan demi kekalahan berlaku kepada parti pembangkang sejak 1999, namun tiada individu lain yang mahu mengambil tempat Anwar.

Rata-rata ahli blok pembangkang berpendapat Anwar masih mampu menjadi Perdana Menteri, walhal beliau sebenarnya sudah tidak mendapat sokongan jitu daripada anggota Parlimen.

Tambah memburukkan situasi, Anwar sendiri 'ditipu' oleh Mahathir sebelum ini.

Janji Mahathir untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri sewaktu tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya omongan kosong.

Anwar terus dirundung kecewa selepas gagal mengetepikan 'saingan' daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi Perdana Menteri ke-9.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2022/06/03/bukan-salah-anwar-tapi-mahathir-mungkir-janji-saifuddin/

Kedua, Mahathir. Konflik politik yang melanda negara ketika ini adalah bermula daripada tindakan Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2020.

Selepas itu, Mahathir keluar daripada Bersatu dan menubuhkan parti Pejuang yang dipimpin oleh beliau dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

Tindakan Mahathir itu menyebabkan perpecahan dalam PH dan menyebabkan parti seperti Bersatu dan Barisan Nasional bergabung membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Mahathir berkata, banyak faktor yang menyebabkan beliau melepaskan jawatan itu. Antaranya, Mahathir mendakwa ada pihak tertentu menuduhnya tidak berniat untuk melepaskan jawatan dan dianggap gila kuasa.

Namun, Mahathir lupa bahawa Anwar dan para pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng masih bercita-cita untuk memegang tampuk pemerintahan negara.

Justeru, tidak mustahil sekiranya ada pakatan di belakang Mahathir yang menyebabkan mereka 'berpaling tadah' daripada Mahathir.

Mahathir juga mengeluarkan kata-kata kurang enak didengar oleh rakyat. Mahathir mengatakan manifesto bukanlah kitab suci.

Perkara itu jelas bertentangan dengan harapan rakyat yang mahukan segala janji dalam manifesto PH dapat ditunaikan.

Malangnya, janji tinggal janji dan rakyat sudah serik untuk 'ditipu' lagi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/659654/banyak-sebab-saya-letak-jawatan-dr-mahathir

Ketiga adalah kegagalan PH untuk menunaikan segala manifesto yang dikemukakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Manifesto seperti pemansuhan PTPTN, tol dan GST hanyalah perkara yang mustahil untuk dilaksanakan.

Sebagai contoh, pemansuhan GST pada 2018 selepas diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2015 menyebabkan negara menanggung hutang yang tinggi.

Malahan, Malaysia kehilangan RM20 bilion daripada hasil kerajaan apabila SST diperkenalkan.

Selain itu, pemansuhan PTPTN juga hanya memberi kesan buruk kepada para pelajar pada masa akan datang.

Antara kesannya adalah para pelajar yang kurang berkemampuan berkemungkinan terpaksa membuat pinjaman untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Situasi itu bukan sahaja akan membebankan para pelajar yang terpaksa menanggung hutang ketika tempoh pengajian, malahan akan memberi kesan kepada jumlah mahasiswa di negara ini.

Mereka mungkin akan berfikir dua kali sebelum melanjutkan pengajian ke IPT jika perlu berdepan situasi sedemikian.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/11/394148/mohon-maaf-gagal-hapuskan-pinjaman-ptptn

https://malaysiagazette.com/2022/01/27/silap-besar-mansuh-gst-pemimpin-politik-jangan-perjudikan-lagi-nasib-negara/

Keempat adalah konflik dalaman parti pembangkang. Syed Saddiq misalannya memilih untuk keluar dari Bersatu dan menubuhkan MUDA atas alasan mahu merevolusikan semula sistem negara.

Meskipun beliau menegaskan dipecat daripada parti tersebut, namun kepimpinan Bersatu mengesahkan Syed Saddiq memilih untuk berundur daripada parti berkenaan.

Baru-baru ini, salah seorang figura Langkah Sheraton, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin membuat keputusan mengejut meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tindakan melompat parti bukan sahaja mengganggu gugat kestabilan politik negara, malahan turut melemahkan keyakinan rakyat kepada ahli politik tempatan.

Secara zahirnya, selepas PRU-14, UMNO masih lagi memiliki barisan kepimpinan yang sama seperti Ismail Sabri, Mohamad Hassan dan Hishamuddin Tun Hussein Onn.

Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpalit skandal pecah amanah namun sokongan kepada barisan pemimpin UMNO lain khususnya daripada akar umbi parti masih utuh.

Menurut kajian dijalankan baru-baru ini, sebanyak 15.5% golongan belia memilih Barisan Nasional (BN) diterajui oleh UMNO pada PRU-15 kelak dan mendahului semua parti dalam soal selidik tersebut.

Sumber: https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/05/26/zuraida-quit-bersatu-to-join-pbm

https://www.malaysiakini.com/news/539754

https://www.aodmalaysia.org/_files/ugd/15355c_ad07bc708bfa417d98240014a4def49c.pdf

Poin terakhir adalah ketidakcekapan dan skandal menyelubungi para pemimpin pembangkang. Sebagai contoh, Syed Saddiq sendiri yang terpalit kontroversi dilihat bermain golf di pejabatnya ketika memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Tindakan itu hanya mengundang kecaman rakyat, ditambah beliau tidak melaksanakan sebarang agenda yang memberi manfaat kepada pembangunan sukan negara.

Selain itu, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melontarkan jawapan kurang bernas ketika delegasi forum di Sidang Kemuncak Keselamatan Asia Ke-18 pada 2018.

Intipati jawapan Mohamad Sabu yang merendahkan keupayaan ketenteraan negara dengan menyatakan kapal Coast Guard negara China lebih besar daripada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencetuskan kritikan ramai pihak.

Meskipun Mohamad Sabtu tidak mahir bertutur dalam bahasa Inggeris, namun sepatutnya jawapan yang diberikan perlulah relevan sebagai seorang Menteri Pertahanan.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula terpalit dengan skandal rasuah. Ramai pihak tidak memahami tindakan Mahathir yang melantiknya sebagai Menteri Kewangan kerana Orang Kena Tuduh (OKT) dan masih dalam proses perbicaraan dibenarkan untuk memegang jawatan terpenting.

Bukan sebarangan jawatan tetapi jawatan Menteri Kewangan.

Guan Eng juga enggan meneruskan sebarang bantuan yang diharapkan oleh rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan hanya meluluskan pemberian e-dompet sebanyak RM30 sahaja.

Sumber: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/05/14/guan-eng-belum-sah

https://m.malaysiakini.com/news/460987

https://www.malaysiakini.com/news/441510

Blok pembangkang seharusnya sedar bahawa untuk mendapatkan semula sokongan rakyat, banyak usaha serta strategi baharu perlu dilakukan.

Jika masih terus berada di takuk lama, janganlah tuding jari kepada sesiapa sekiranya kalah pada PRU-15 kelak.

Muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Fikir di mana silapnya. Rakyat kini kian bijak memilih. Tersilap langkah, buruk padahnya.

Comments