Di Sebalik ‘Cash Is King’ Mahathir & Umno

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa UMNO jatuh disebabkan parti tersebut 'mengamalkan' ideologi 'cash is king'.

Mahathir berkata demikian selepas melihat beberapa orang pemimpin UMNO terpalit skandal rasuah dan pecah amanah.

Namun, Mahathir tidak boleh lupa bahawa terdapat individu yang mempunyai peranan dalam 'menerapkan' ideologi tersebut pada parti berkenaan.

Individu itu tidak lain tidak bukan adalah Mahathir sendiri. Banyak dana UMNO yang tertiris ketika Mahathir menjadi Presiden UMNO.

Beliau dibantu oleh rakan lamanya, Tun Daim Zainuddin. Ketika itu, Mahathir melantik Tun Daim menjadi Bendahari UMNO.

Maka, senanglah untuk mereka berdua menyembunyikan segala transaksi 'haram' yang berlaku di sebalik UMNO.

Tun Daim sentiasa berkhidmat sebagai orang kanan Mahathir. Beliau adalah pakar kewangan yang mengetahui kaedah untuk menstrukturkan perjanjian dan banyak kali dilihat menjadi orang penting membantu pembangunan ekonomi negara.

Pendedahan tentang satu akaun rahsia UMNO dibongkar dalam kes mahkamah 1MDB dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut kertas pendakwaan, terdapat akaun rahsia UMNO yang tidak diaudit dan wujud sejak 1988.

Pada masa itu, Mahathir adalah Presiden UMNO manakala Tun Daim pula memegang jawatan Bendahari UMNO.

Mahathir memegang jawatan itu dari 28 Jun 1981 hingga 31 Oktober 2003. Tun Daim pula berperanan sebagai Bendahari UMNO antara 1984 hingga 1999 serta menjadi Bendahari Barisan Nasional (BN).

Sekiranya ada sesiapa yang tahu tentang butiran kewangan dan bank akaun UMNO, Mahathir dan Tun Daim lebih mengetahuinya dan kemungkinan tiada orang lain yang tahu.

Dikatakan dana dalam akaun rahsia tersebut berkemungkinan berjumlah RM500 bilion sehingga RM3 trilion. Walaupun nilai itu dilihat sebagai besar, namun jumlah tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil jika mengambil kira tempoh masa akaun berkenaan wujud.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/562531

Tidak mustahil untuk dikatakan sejumlah wang itu dipindahkan ke bank-bank yang mempunyai pegangan saham milik Tun Daim. Mahathir dan Tun Daim mempunyai wang sebanyak AS$200 bilion yang disimpan dalam bank di seluruh dunia.

Berkemungkinan juga wang berkenaan merupakan wang yang hilang ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali pertama dari 1981 hingga 2003.

Menurut buku penulisan Barry Wain yang bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, sekurang-sekurangnya AS$100 bilion wang negara ini hilang ketika rejim pemerintahan kali pertama Mahathir. Namun jumlah itu berkemungkinan berbeza daripada nilai sebenar yang dilaporkan.

Mahathir turut menggunakan dana rahsia UMNO itu untuk menjadikan parti berkenaan sebuah konglomerat dengan pelaburan yang meliputi hampir keseluruhan ekonomi negara.

Mahathir juga menggunakan wang pembayar cukai serta mengarahkan bank milik kerajaan 'membuang' sekurang-kurangnya RM140 juta kadar faedah ke atas pinjaman parti itu ketika Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dibina.

Sumber: https://thecoverage.my/where-mahathir-has-hidden-his-rm200-billion-how-he-moves-his-billions-through-tun-daim/

Mahathir sebelum ini berulang kali menyerang Perikatan Nasional (PN) serta menuduh pemimpin Bersatu menyokong rasuah dan kleptokrasi berikutan beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang berdepan kes mahkamah menyokong pembentukan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ironinya, salah satu kes mahkamah tersebut mendedahkan Mahathir berkemungkinan merupakan orang yang mewujudkan dana haram UMNO.

Ini bukan satu perkara baharu kerana Mahathir dan Tun Daim pernah melakukan perkara sama sebelum ini.

Tempoh Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali pertama digambarkan sebagai era kapitalisme Bumiputera.

Era rejim pemerintahan Mahathir ketika itu, menyaksikan sejumlah besar aset awam telah diswastakan termasuk projek bernilai berbilion ringgit seperti Lebuhraya Utara-Selatan, air dan pembentungan, Empangan Bakun, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Langkah berkenaan dilihat hanya memberi manfaat kepada golongan elit politik yang ditugaskan untuk menjaga aset-aset tersebut serta rakan niaga korporat. Walaupun Mahathir menyifatkan langkah terbabit sebagai usaha untuk memodenkan negara, namun turut menyumbang kepada ketidaksamaan sosial dan struktur yang kita lihat hari ini.

Apabila syarikat bumi-kapitalis ini gagal, mereka sering diselamatkan. Rakyat merupakan golongan paling rugi, yang kini terpaksa berhadapan dengan membayar pelbagai jenis infrastruktur awam tidak berkualiti dan terlalu mahal.

Sumber: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2015/05/10/tun-m-lakukan-bailout

Walaupun dalam tempoh singkat selama 22 bulan, Mahathir menjadi Perdana Menteri ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, terdapat pelbagai petanda bahawa golongan kaya semakin kaya terutamanya mereka yang rapat dengan Mahathir dan Tun Daim.

Beberapa bulan selepas kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, Petron Fuel International Bhd dilantik sebagai salah satu pembekal bahan api untuk kenderaan kerajaan menjadi tular di media sosial.

Salah seorang anak Mahathir iaitu Mirzan, merupakan pengarah Petron Corporation yang berpangkalan di Filipina dan memiliki Petron Malaysia.

Hanya selepas empat hari Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kedua, Opcom Cables iaitu sebuah syarikat yang terlibat dalam pembuatan dan penjualan kabel gentian optik serta produk berkaitan kabel di Malaysia, telah dianugerahkan kontrak sebanyak RM11.16 juta oleh Telekom Malaysia.

Mokhzani merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Opcom Cables pada masa itu manakala abangnya, Mukhriz adalah pemegang saham terbesar sehinggalah beliau menyerahkan sahamnya kepada isterinya sebelum menceburi politik.

Pada 29 Ogos 2019, saham Opcom meningkat sebanyak 41.11 peratus dalam tempoh sehari - sesuatu yang sangat aneh memandangkan kerajaan baru sahaja meluluskan Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/436827

Secara faktanya, ‘cash is king’ dalam UMNO dan negara dikepalai oleh Mahathir serta sekutunya. Jika Mahathir mahu mengatakan UMNO jatuh disebabkan sikap ‘cash is king’ menebal dalam kalangan ahli-ahli UMNO, maka wajar untuk Mahathir cermin diri sendiri terlebih dahulu.

Sekiranya Mahathir mahu ‘memberi nasihat’ kepada UMNO, nasihatilah diri sendiri dahulu. Akibat terlalu kerap mengamalkan ‘cash is king’ dalam pemerintahannya, lebih banyak keburukan yang terpaksa dilalui oleh rakyat.

Comments