SOSMA Tidak Berat Sebelah, Lebih Adil

Baru-baru ini, parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) merupakan undang-undang yang sangat berat sebelah.

Menurut Naib Presidennya, Zaidel Baharudin, kuasa menyeluruh meliputi akta berkenaan menyebabkan SOSMA terdedah kepada penyalahgunaan.

Ujar Zaidel, banyak negara demokrasi lain yang berdepan ancaman keganasan yang aktif mempunyai undang-undang khusus bagi menangani bentuk jenayah tersebut.

Katanya lagi, negara-negara tersebut tetap meletakkan mekanisme semak imbang untuk memastikan hak individu warganegaranya terjamin.

Melihat kepada pelaksanaan SOSMA yang dilaksanakan di negara ini, Zaidel terlebih dahulu perlu mengetahui peruntukan yang terkandung dalam SOSMA dan tatacaranya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1039650/sosma-berat-sebelah-terdedah-penyalahgunaan-muda

SOSMA dilaksanakan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan oleh kerajaan pada 22 Jun 2012.

SOSMA jauh berbeza berbanding ISA dalam beberapa aspek.

Tahanan politik tidak boleh ditahan di bawah SOSMA manakala ISA dibolehkan.

Perkara itu terkandung dalam subseksyen 4(3) yang menyebut: 'Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya."

Selain itu, pihak polis mempunyai tempoh siasatan yang pendek iaitu 20 hari sahaja mengikut prosedur SOSMA kerana pegawai penyiasat perlu menyerahkan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya pada hari ke-21 tahanan ditahan.

Tempoh itu jauh berbeza dengan ISA. Tahanan ISA dibenarkan ditahan selama 60 hari dan mereka tiada akses kepada peguam.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/629572

SOSMA dilaksanakan bagi membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang seperti kumpulan pengganas atau sindiket penyeludupan manusia.

Misalnya, seorang pegawai polis boleh menangkap dan menahan mana-mana pihak yang dipercayai terbabit dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.

Di bawah peruntukan Subseksyen 4(5) Akta Sosma, pihak yang ditangkap boleh ditahan selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan dan penahanannya boleh dilanjutkan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari.

Peranti pengawasan elektronik juga boleh dipasangkan pada tertuduh yang dilepaskan.

Selain itu, jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dipertuduhkan atas kesalahan keselamatan.

Malahan, semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1040293/kdn-terbuka-beri-pencerahan-kebaikan-sosma

Menurut penganalisis jenayah, SOSMA adalah lebih baik kerana ia melibatkan kes-kes dalam Kanun Keseksaan seperti kes-kes keselamatan dan jenayah berbanding ISA.

Mengikut prosedur ISA, selepas tamat tempoh tahanan untuk siasatan oleh pihak polis, perintah tahanan akan dikeluarkan oleh pihak menteri tanpa dibicara di mahkamah.

Di bawah SOSMA, pihak yang dituduh perlu dituduh dan dihukum di atas kesalahan dilakukan di mahkamah dan lebih adil.

Maka, tidak timbul isu bahawa SOSMA merupakan undang-undang yang berat sebelah dan terdedah kepada penyalahgunaan oleh segelintir pihak seperti didakwa oleh Zaidel.

Selain itu, Zaidel perlu sedia maklum bahawa negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura masih mengutamakan akta seumpama ISA.

Sumber: https://premium.sinarharian.com.my/article/190245/fokus/laporan-khas-/lsquososma-lebih-baik-daripada-isarsquo

Tuntasnya, SOSMA yang didakwa berat sebelah oleh Zaidel mempunyai prosedur yang lebih ketat berbanding ISA.

Pelaksanaan SOSMA membuktikan bahawa negara mengambil serius soal jenayah terancang atau apa jua jenayah yang mampu mengganggu keamanan Malaysia.

Peruntukan yang terkandung dalam SOSMA juga digubal dengan teliti bagi memastikan segala prosedur dapat dijalankan dengan teratur.

MUDA seharusnya memperjuangkan agar tempoh siasatan yang terkandung dalam subseksyen 4(5) dilanjutkan supaya pihak berkuasa mempunyai lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul bukti-bukti kukuh.

Contohnya, siasatan kes terutamanya bagi kes kesalahan keganasan yang bersifat rentas sempadan memerlukan bantuan bersama negara luar dan ini memerlukan masa yang lama.

Perkara itu lebih mustahak untuk dibicarakan berbanding melemparkan dakwaan kurang berasas.

Comments