Mahathir: Usia vs Prestasi


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan pengundurannya dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan berkemungkinan akan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Mahathir menyifatkan jemputan menyertai PUTRA bersesuaian dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu serta menolak amalan rasuah.

Sepanjang kerjaya politiknya, Mahathir telah menyertai tiga parti berbeza iaitu UMNO, Bersatu serta PEJUANG.

Pada usia menjangkau 97 tahun, aura Mahathir dalam arena politik dilihat oleh kebanyakan pihak, kian samar.

Perkara itu disokong dengan kekalahan teruk Mahathir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November tahun lalu.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1066024/selepas-umno-bersatu-pejuang-kini-tun-m-beri-bayangan-sertai-putra


Faktor usia Mahathir yang kian lanjut menjadi penghalang untuk beliau terus aktif dalam arena politik tempatan.

Meskipun Mahathir memiliki semangat yang tinggi untuk berkhidmat kepada negara, usia yang semakin meningkat membawa risiko kepada kesihatan beliau.

Beliau pernah mengalami beberapa masalah kesihatan sejak kembali ke dunia politik.

Walaupun beliau menafikan keadaan kesihatannya, namun Mahathir sepatutnya memikirkan impak jangka panjang kesihatannya sebelum mengambil sebarang keputusan untuk memimpin negara.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/411778

https://malaysiadateline.com/dr-mahathir-masuk-ijn-lagi/


Selama lebih 60 tahun berkecimpung dalam dunia politik, Mahathir pastinya berdepan risiko untuk mengalami keletihan mental.

Mahathir telah berdepan banyak tekanan mental, tekanan daripada kritikan serta serangan daripada pelbagai pihak sepanjang karier politiknya.

Beliau memiliki pengalaman yang cukup untuk mengatasi tekanan seumpama itu, namun wujud kemungkinan kesihatan mental akan berlaku.

Situasi itu boleh mengakibatkan keputusan yang dibuat oleh Mahathir tidak rasional atau kurang bertimbang rasa.

Sumber: https://www.malaysia-today.net/2021/06/11/mageran-dr-mahathir-bukan-nyanyuk-tapi-mahu-kuasa-kata-amk/


Mahathir sudah mencapai banyak kejayaan semasa memegang jawatan dalam politik negara, namun pencapaian masa lalu tidak semestinya menjamin sebarang kejayaan pada masa hadapan.

Selain itu, dunia politik juga kian mencabar dan memerlukan sumber tenaga yang banyak.

Maka, Mahathir perlu mempertimbangkan tentang kejayaan sekarang dan masa hadapan selain memutuskan sama ada beliau masih memiliki kemampuan untuk terus berkhidmat dalam dunia politik.

Keputusan untuk bersara daripada dunia politik turut membolehkan Mahathir memberikan inspirasi serta kesempatan kepada generasi baharu memacu negara ke hadapan.

Ramai lagi individu dalam arena politik yang memiliki idea baharu dan malar segar mampu membawa negara ke tahap lebih baik.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/11/lebih-baik-bersara-tak-relevan-jadi-wakil-rakyat-warganet-kritik-hasrat-dr-m-bertanding/


Usia Mahathir yang semakin meningkat menjadi faktor penting untuk beliau memikirkan keperluan untuk bersara.

Arena politik yang kian mencabar juga merupakan penghalang utama untuk Mahathir membawa ideanya kepada rakyat.

Beliau sudah memberikan pelbagai sumbangan kepada negara dan tiba masanya memberi laluan kepada generasi yang lebih muda untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia.

Apabila bersara, Mahathir boleh memberi tumpuan kepada aktiviti yang bersesuaian seperti aktiviti kebudayaan dan menikmati masa dengan keluarga.

Comments